Assalamualaikum..
Bulan Ramadhan sinonim dengan bulan meraikan dan beramal. Demi menunaikan tanggungjawab sosial, McDonald's® Malaysia dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan Islam Darul Ehsan telah berbesar hati meraikan dan memberi sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf. Bertempat di Masjid Kampung Raja Uda, Klang, majlis diraikan dalam hujan tetapi meriah dan bermakna bagi mereka.
Lynda dan keluarga berkesempatan menghadiri majlis ini yang dimulakan dengan bacaan doa dan dirasmikan dengan ucapan daripada Setiausaha MAIS, YBhg Dato' Azmir Bin Hussin.
"Usaha yang dilakukan oleh McDonald's Malaysia seperti majlis ini, selaras dengan matlamat MAIS, Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan Islam Darul Ehsan iaitu menjaga kebajikan dan memberi sumbangan kepada golongan yang berhak menerimanya. Diharapkan supaya anak-anak yang diraikan akan terus diberi rezeki yang melimpah ruah bukan sahaja dalam bulan Ramadhan tapi di bulan-bulan lain."
Setiausaha MAIS, YBhg Dato' Azmir Bin Hussin.
Selain meraikan anak-anak yatim dan menjamu mereka dengan juadah berbuka puasa, pihak McDonald's® Malaysia juga memperkenalkan menu baharu sempena bulan Ramadhan iaitu Nasi McD yang juga telah mula dipasarkan pada 10 Mei lalu. Menu Nasi McD ini ditawarkan sebagai hidangan nasi ketika berbuka puasa dengan sambal istimewa, ayam goreng McD dan telur rebus. Bersama menu ini, pelanggan boleh memilih untuk menambah minuman Teh Ais Limau.
"Kami amat berbesar hati menerima kehadiran lebih 500 anak-anak daripada 12 rumah kebajikan dan berharap hari ini merupakan hari yang bermakna buat mereka. Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada MAIS, Lembaga Zakat Selangor dan YIDE atas sokongan dalam menjayakan majlis ini.
Untuk makluman semua juga, Gerban Alaf Restaurants Sdn Bhd adalah pengendali rangkaian restoren McDonald's di Malaysia. Lebih penting lagi, kami adalah syarikat milik tempatan yang dikendalikan oleh individu Islam sebagai pemegang saham terbesar. Kami turut melaksanakan kewajipan untuk membayar zakat bagi membantu serta memberi manfaat kepada golongan fakir miskin di Malaysia. Malah pada tahun 2017, kami telah membayar zakat sebanyak RM1 juta."
Rakan Kongsi Tempatan McDonald's® Malaysia, Tuan Azmir Jaafar
PENYAMPAIAN SUMBANGAN
Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada rumah anak-anak yatim. Menariknya, majlis ini merupakan majlis dengan jemputan paling ramai pernah diadakan oleh McDonald's® Malaysia. Setiap rumah kebajikan menerima sumbangan RM10,000 dari Ronald McDonald's House Charities manakala setiap kanak-kanak menerima sumbangan RM20 seorang menjadikan jumlah sumbangan adalah RM130,000.
Rumah kebajikan yang terlibat :
- Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Sahkun, Rawang.
- Badan Kebajikan Siti Khadijah Anak Yatim Selangor, Petaling Jaya
- Rumah Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah, Klang
- Rumah Amal Baitul Kasih/Baitul Fitrah, Rawang
- Rumah Kebajikan Anak Yatim Al-Khairiyah, Klang
- Persatuan Kebajikan Anak Yatim Damai Kuang
- Rumah Amal Raudhatul Jannah, Banting
- Rahoma Darul Fakir, Subang
- Rumah Kasih Harmoni, Sg Buloh
- Rumah Anak-Anak Yatim An-Nasuha, Batu Caves
- Rumah Anak Yatim & Hidayah Al-Hijrah, Hulu Langat
- Pusat Jagaan Siraman Kasih, Rawang.
AKTIVITI KEMASYARAKATAN McDonald's® Malaysia
McDonald's® Malaysia juga komited untuk meneruskan pelbagai aktiviti tahunan lain sempena sambutan bulan Ramadhan melalui tajaan moreh di surau-surau dan masjid-masjid di sekitar lokasi restoren, tajaan moreh di 26 IPT dan juga agihan kurma dan air untuk berbuka puasa di stesen-stesen LRT terpilih.
Sejak tahun 2016, McDonald's® Malaysia telah terlibat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di seluruh lokasi restorennya. Disamping itu, terdapat inisiatif jangka panjang seperti Anugerah Guru Inspirasi untuk mengiktiraf tugas guru dan Bulan Komuniti pada bulan Oktober sebagai inisiatif memfokuskan aktiviti kemasyarakatan kepada kanak-kanak.
Diharap sumbangan dan pelbagai bentuk keraian ini akan diteruskan juga dalam bulan-bulan lain dan semua pihak termasuk kita rakyat Malaysia akan saling bantu membantu terutama bagi golongan yang lebih memerlukan. Alhamdulillah.
Terima kasih :
McDonald's® Malaysia www.mcdonalds.com.my
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) http://www.mais.gov.my/
Lembaga Zakat Selangor http://www.zakatselangor.com.my
Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) http://www.yide.com.my
Masjid Kg Raja Uda, Persiaran Raja Muda Musa, Klang, Selangor
Lynda Che Lah